UTUSAN MALAYSIA - 27 Feb 2009.
Pakar hasilkan buku kanser pertama dalam bahasa Melayu
|
|
KOTA BHARU 26 Feb. - Seorang pakar Ortopedik (onkologi) di Jabatan Ortopedik, Universti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, Prof. Madya Dr. Wan Faisham Numan Wan Ismail menghasilkan sebuah buku mengenai kanser yang pertama dalam bahasa Melayu.
Buku bertajuk Kanser Tulang dan Sarkoma Anggota setebal 213 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disasarkan kepada golongan pesakit dan keluarga agar mendapat maklumat berkaitan penyakit tersebut melalui bacaan yang mudah difahami.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik USM, Prof. Abdul Rahman Noor dalam satu majlis ringkas di Dataran Pelajar Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, di sini hari ini.
Berucap pada majlis itu, Prof. Abdul Rahman berkata, pihaknya amat menggalakkan para pensyarah dan pakar dalam pelbagai bidang menterjemahkan pengalaman dan kemahiran mereka ke dalam bentuk buku.
''Mendokumentasikan ilmu akan membantu banyak pihak memahami lebih mendalam penyakit yang dihidapi di samping memudahkan rawatan susulan diterima terutama berkaitan dengan kemoterapi, radioterapi dan pembedahan mengekalkan anggota.
''Buku yang ditulis dalam bahasa Malaysia ini diharap memudahkan golongan pesakit dan keluarga mendapat maklumat dan kefahaman yang lebih tepat kerana kebanyakan sumber diperoleh di internet atau buku dalam bahasa Inggeris,'' katanya.
Sementara itu, Dr. Wan Faisham semasa ditemui berkata, kebanyakan orang ramai di negara ini tidak memperoleh maklumat yang jelas mengenai penyakit dan kaedah rawatan kerana kekurangan bahan rujukan.
''Kekurangan maklumat mengenai proses rawatan seperti kemoterapi yang menyakitkan tidak memberi kesan kepada pesakit kerana ada yang melarikan diri sebelum sempat rawatan secara berperingkat selesai dilakukan," ujarnya.
Antara kandungan buku itu adalah berkaitan rawatan pembedahan dengan kaedah terkini bagi membantu mengekalkan anggota yang mampu memberi harapan baru kepada pesakit.
''Pesakit kanser dahulu berhadapan dengan risiko anggota tubuh seperti tangan atau kaki yang dipotong dan jangka hayat lebih pendek namun melalui pembedahan mengekalkan anggota, pesakit mempunyai peluang hidup lebih lama.
''Bagaimana pun di negara ini hanya terdapat 11 pakar dalam rawatan tersebut sedangkan jumlah pesakit kanser tulang adalah lebih kurang 134 hingga 154 orang pada setiap 100,000 populasi penduduk di negara ini.
''Dijangka 30,000 pesakit kanser baru dikesan pada setiap tahun terutama di kalangan golongan dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas, katanya.
Selain kanser tulang katanya, buku itu turut menjelaskan mengenai sarkoma anggota yang merupakan ketumbuhan pada tisu-tisu anggota sama ada di tulang, sendi atau tisu lembut.
''Ketumbuhan benigna biasanya tidak merebak, membengkak dengan perlahan dan hanya menimbulkan kesakitan dalam jangka masa panjang, namun itu bukan sejenis kanser" ujarnya.
Komen Tinta Pendidik:
Tahniah. Alhamdulillah. Dengan adanya usaha menghasilkan dan menterjemah buku-buku ilmiah yang kebanyakkannya dalam bahasa inggeris, harap-harap suatu hari nanti PPSMI akan selesai.
0 Bicara Tentang Coretan:
Post a Comment